Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN
Kelahiran banyak penyedia Sistem Kewangan Islam sejak
kebelakangan ini memberi nafas baru kepada masyarakat Malaysia terutamanya
kepada umat Islam untuk menikmati sistem yang berteraskan wahyu yang telah lama
diidamkan.
Inisiatif pihak Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan
lesen-lesen penubuhan Perbankan Islam dan Takaful kepada beberapa institusi
kewangan yang layak seharusnya dipuji dan dihargai kerana ia telah memudahkan
masyarakat membuat pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan yang adil,
telus dan efisien.
Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi
'Amru Jarir bin Abdullah r.a. yang memuji tindakan sedemikian rupa di mana
mafhumnya berbunyi: Barang siapa yang menunjukkan (mempermudahkan sesuatu
urusan) perkara kebaikan, maka baginya pahala dan pahala sesiapa yang beramal
dengannya selepas itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya. (riwayat
Muslim)
Jika sebelum ini, umat Islam tidak mempunyai pilihan malah
terpaksa menerima sistem yang bercampur-baur dengan sistem yang tidak senada
dengan Islam.
Keadaan ini mewujudkan kegelisahan dan rasa tidak selesa di
kalangan umat Islam. Namun kini, alhamdulillah, kemunculan Sistem Kewangan
Islam dengan pelbagai inovasi seolah-olah menjadi 'penyelamat' kepada umat
manusia daripada terus-menerus dibelenggu oleh sistem yang hanya meletakkan
keuntungan duniawi semata-mata.
Malangnya, ada juga sesetengah pihak yang masih berat hati
untuk turut serta menyokong dan melibatkan diri dalam memajukan sistem Islam
ini dengan mencipta seribu satu alasan.
Malah, ada juga suatu golongan yang cuba untuk memburukkan
imej Sistem Kewangan Islam ini dengan cubaan-cubaan halus bagi melumpuhkan
usaha murni ini.
Kepada golongan tersebut, diperingatkan satu firman Allah
yang bermaksud: Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan
menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi
bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan
yang jauh terpesongnya. (Ibrahim: 3)
Sebagaimana yang dimaklumi, institusi Takaful sebagai
contohnya, adalah merupakan Institusi Perlindungan (Insurans) yang berteraskan
prinsip Islam.
Institusi ini selayaknya disokong dengan bersungguh-sungguh
kerana ia merupakan suatu sistem yang menjamin keadilan dan kesejahteraan
kepada ummah.
Perlindungan menerusi sistem takaful mempunyai kelebihan
yang tidak boleh disangkal lagi berbanding dengan sistem perlindungan
konvensional. Di bawah sistem perlindungan takaful para peserta yang menyertai
mana-mana-mana pelan perlindungan diprogramkan untuk sama-sama mempraktikkan
konsep tolong-menolong yang diredai Allah untuk sama-sama meringankan beban
rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan.
Semangat ini akan melahirkan masyarakat yang tidak
mementingkan diri sendiri, tidak sombong malah mereka akan sentiasa prihatin
kepada persekitaran mereka.
Islam sangat menggalakkan umatnya agar tolong menolong dalam
perkara kebaikan seperti yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat 2
surah al-Maidah, maksudnya: … hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan…
Sistem takaful juga bebas dari unsur-unsur gharar (syubhat),
riba dan juga maisir (judi). Tiadanya unsur gharar secara mudahnya memberi
maksud bahawa sistem takaful adalah satu sistem yang telus , tidak
menyembunyikan fakta dan tidak mengamalkan seperti pepatah Melayu "ada
udang di sebalik batu".
Di antara nilai negatif di sebalik unsur riba adalah
mengambil kesempatan, menindas golongan yang dalam kesusahan dan
mengeksploitasi untuk kepentingan sendiri. Oleh itu, tidak hairan apabila kita
melihat pengamal sistem yang berteraskan riba ini mereka hanya mementingkan
diri mereka sendiri, sanggup menindas orang lain , sentiasa mencari jalan untuk
mengumpulkan kekayaan sendiri dan lebih dahsyat lagi tiada perasaan belas
kasihan dalam diri mereka.
Hal ini sebaliknya berlaku, dalam sistem Takaful yang tidak
mengamalkan riba, nilai-nilai tanggungjawab bersama, tolong menolong dan
menjaga kemaslahatan umum menjadi keutamaan.
Begitu juga dengan unsur maisir. Unsur ini menjadikan
pengamalnya tamak dan rakus tanpa memikirkan hak dan kepentingan orang lain.
Sistem Takaful yang tiada unsur ini sebaliknya mementingkan semangat
persaudaraan dan kepentingan bersama sebagai satu teras yang menunjangi
aktivitinya.
Menerusi sistem Takaful seseorang peserta itu juga dapat
melakukan amalan yang sangat terpuji dalam Islam iaitu dapat menunaikan
tanggungjawab sosialnya menerusi amalan tabarru' (derma).
Dalam sistem takaful setiap peserta akan memperuntukkan
sebahagian atau semua daripada sumbangannya untuk didermakan bagi membantu
mana-mana peserta yang ditimpa musibah.
Derma dalam sistem takaful ini adalah derma kelas pertama.
Ini kerana menerusi sistem ini seseorang peserta dapat melakukan derma dengan
ikhlas sebagaimana derma yang dituntut oleh Islam.
Ia seperti yang digambarkan dalam sabda baginda daripada Abi
Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w baginda bersabda, Tujuh golongan yang akan
mendapat naungan Allah pada hari yang tiada sebarang naungan melainkan naungan
Allah, pemimpin yang adil, pemuda yang hidup dalam ibadat kepada Allah, lelaki
yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang lelaki yang berkasih
sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang
digoda oleh wanita yang berkedudukan dan cantik lalu dia berkata sesungguhnya
aku takut kepada Allaah dan seorang lelaki yang melakukan sedekah secara
tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan
kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara bersendirian lalu
bergelinangan air matanya. (Muttafaqun 'alaih)
Namun perlu ditegaskan keistimewaan konsep ini adalah ia
tidak hanya bermanfaat kepada orang Islam semata-mata. Sebaliknya, ia turut
memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama.
Sistem takaful juga menyediakan peluang kepada masyarakat
untuk memainkan peranan sebagai pendakwah yang berusaha mengembangkan produk
muamalat Islam dengan menyertai dan menyokong sistem ini.
Ini kerana takaful adalah alternatif kepada sistem insurans
konvensional sebagaimana yang disimpulkan oleh Badan Petugas Penubuhan Syarikat
Insurans Islam Di Malaysia 1983.
Malah masyarakat juga berpeluang melakukan jihad menentang
sistem jahiliah (sistem perlindungan konvensional) yang telah difatwakan haram
menurut Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1972.
Pada masa yang sama apabila menyertai sistem yang
berteraskan sistem Islam ini sebenarnya ia memberi peluang untuk beribadat yang
merupakan satu menifestasi pengabdian, kepatuhan dan ketundukan kepada perintah
Allah yang memerintahkannya supaya melakukan makruf dan meninggalkan mungkar
sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 25.
Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk kita melibatkan diri
dan bekerjasama untuk memartabatkan sistem takaful ini.
Sokongan padu diperlukan dari semua pihak agar hasrat murni
untuk memerdekakan umat manusia daripada terus berada di bawah cengkaman sistem
yang bersifat duniawi semata-mata kepada sistem yang boleh membawa
kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.
Kini dengan adanya kemudahan kewangan Islam seperti
perbankan dan takaful di pasaran yang ternyata lebih baik dan lebih menjamin
kemaslahatan, maka ianya bukan lagi menjadi pilihan yang lebih baik malah, ia
telah menjadi satu tuntutan atau kewajipan untuk memilih kemudahan kewangan
Islam ini.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment